Memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Mei 2011 sempena Sambutan Hari Guru: “Kenaikan
gred Pengetua daripada DG48 kepada DG52 dan Penolong Kanan daripada
DG44 kepada DG48 adalah satu pengiktirafan kepada jawatan Pengetua dan
Penolong Kanan. Insya-Allah kenaikan ini akan menambahkan minat guru
untuk memegang kedua-dua jawatan yang amat penting dalam kepimpinan
sekolah”.
Pengumuman
ini semestinya amat melegakan barisan pentadbiran sekolah yang dipimpin
oleh pengetua, penolong kanan pentadbiran, penolong kanan hal ehwal
murid, penolong kanan kokurikulum dan penolong kanan petang (PKP) bagi
sekolah yang ada sesi petang.
Setelah
hampir setahun menunggu, berita yang menggembirakan itu rupa-rupanya
menjadi kejutan apabila barisan PKP tidak tersenarai dalam
pengiktirafan di atas. PKP yang selama ini berada dalam gred perjawatan
yang sama dengan penolong kanan (PK) tidak menerima kenaikan gred tanpa
ada pihak yang tampil memberi penjelasan tentang pengecualian itu.
Persoalannya,
mengapa perkara ini berlaku? Adakah PKP tidak layak atau tidak setaraf?
Jika dirujuk fail meja setiap PKP, tugas hakiki tidak ada bezanya, cuma
pengkhususan dalam bidang masing-masing.
Jika
diteliti dalam bidang kurikulum tugas PKP adalah seiring dengan PK
Pentadbiran dan dalam bidang hal ehwal murid, kami seiring dengan PK
HEM, dan dalam bidang kokurikulum adalah seiring dengan PK Kokurikulum.
Jelas
berdasarkan tugas tersebut, PKP menjalankan kesemua tugas PK tetapi
secara spesifik bagi murid sesi petang. Data juga menunjukkan jumlah
murid sesi petang di sebuah sekolah mungkin lebih ramai daripada sesi
pagi di sekolah lain.
Seorang
pengetua bertugas mengikut waktu kerja pejabat tetapi bagi seorang PK
Pentadbiran, PK HEM, PK Kokurikulum dan PKP adalah sama seperti guru
biasa. Ini bermakna tiada sebarang penetapan masa bekerja bagi PKP
selepas sesi persekolahan. PKP akan menggalas tugas pengurusan
pentadbiran, akademik, kokurikulum, hal ehwal murid, staf dan
sebagainya bagi sesi petang sendirian bermula 1 petang sehingga 6.45
petang.
Sumber
tidak rasmi ada menyatakan bahawa di Bahagian Sumber Manusia jawatan
PKP tidak wujud. Jawatan yang ada ialah penyelia petang. Adakah perkara
ini benar dan mengapa boleh berlaku? Penyelia Tingkatan Enam Satu yang
merupakan jawatan jauh lebih baru daripada penyelia petang telah pun
diiktiraf sebagai PK Tingkatan Enam dan berada di gred DG48 .
Jika
dirujuk dalam pekeliling yang ada selama ini, jawatan penyelia petang
adalah seiring dengan jawatan PK lain dalam apa jua perkara, contohnya
pembayaran elaun tanggungjawab, tugas di luar norma (masa mengajar
kurang dari guru biasa kerana beban tugas pentadbiran). Gred perjawatan
sebelum ini DG44. Mengapakah bagi kenaikan ke DG48, PKP diketepikan?
Dalam
setiap carta kepimpinan organisasi sekolah, PKP sebaris dengan PK. Di
manakah kedudukan PKP selepas ini? Semua carta organisasi perlu
dirombak kerana gred perjawatan telah berubah. Tiga PK lain berada di
Gred DG48 manakala PKP pada gred DG44 iaitu bersama empat guru kanan
mata pelajaran atau ketua bidang.
Satu
penjelasan perlu dibuat bagi menjernihkan keadaan ini. Bagi membaiki
keadaan ini adalah amat diharapkan ada pihak yang akan tampil membuat
penjelasan agar kekeliruan dapat diatasi, seterusnya meletakkan semula
kedudukan PKP setaraf PK lain di gred DG48. (Petikan Forum Utusan
Malaysia)
No comments:
Post a Comment