Pages

Monday, April 17, 2006

210 Guru dianugerahkan pengetua cemerlang

Tahniah kepada warga pendidik yang telah berjaya menyahut seruan kerajaan 'Cemerlang , Gemilang dan Terbilang'. Antara yang berjaya bekas guru saya waktu di tingkatan 6 SMKEVII.
Saya dapat merasakan bahawa ia begitu berjaya membentangkan dokumen yang sukar untuk dipertikaikan.

Sekolah beliau pun telah dinobatkan sebagai sekolah selamat dan sekolah harapan negara.

1 comment:

Guru Kampung said...

Pengetua DG52 ditambah
Oleh Syuhada Choo Abdullah


SERAMAI 85 pengetua di sekolah menengah seluruh negara sudah menikmati pelantikan ke jawatan Pengetua Cemerlang sejak kenaikan pangkat itu diperkenalkan pada 1996.



Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Datuk Salleh Mohd Husein, berkata daripada jumlah itu, seramai lapan dilantik pada 1996, 1999 (sembilan), 2001 (12), 2002 (25) dan 2003 (31).

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 121 jawatan Pengetua Cemerlang DG52 sudah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada akhir Mac lalu, dan kini sedang dalam proses pelantikan.

“Bagaimanapun bagi Pengetua Cemerlang yang dilantik sehingga 2003, hanya 35 pengetua terbabit masih dalam perkhidmatan berikutan faktor seperti persaraan penyandang yang lain.

“Seramai 31 daripada mereka adalah Pengetua Cemerlang DG54, manakala empat lagi menyandang jawatan Pengetua Cemerlang Jusa C.

“Kenaikan pangkat ke jawatan Pengetua Cemerlang sehingga ke peringkat gred tertinggi Jusa C ini adalah antara bukti kesungguhan pihak kerajaan menghargai serta mengiktiraf segala sumbangan dan bakti golongan pendidik, terutama pemimpin sekolah,” katanya kepada Berita Harian.

Malah, Salleh berkata, komitmen kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran, untuk terus memartabatkan profesion keguruan adalah jelas melalui pelaksanaan agenda yang meliputi pelbagai aspek seperti perjawatan serta kebajikan golongan pendidik.

Sebagai contoh, katanya, penyediaan kemudahan Kompleks Institusi Pendidikan untuk kediaman guru serta peruntukan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) kepada semua anak mereka yang bersekolah.

Justeru, beliau berkata, usaha berkenaan perlu disambut dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab oleh guru untuk menunaikan amanah mereka kerana masa depan negara amat bergantung kepada kejayaan menjana generasi berkualiti melalui proses pendidikan di sekolah.

Dalam konteks ini, katanya, kewibawaan guru sejati memperjuangkan kemajuan bangsa seiring dengan matlamat Wawasan 2020, secara langsung akan mengangkat martabat profesion mulia berkenaan.

“Semangat ini bertepatan dengan tema sambutan perayaan Hari Guru 2006, iaitu `Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan’, di mana pendidikan bestari memang memainkan peranan amat kritikal dalam agenda memacu kemajuan negara pada masa depan.

“Dalam proses ini, kepentingan fungsi profesion keguruan begitu signifikan untuk menjana modal insan bertaraf dunia yang mampu merealisasikan matlamat kegemilangan negara.

“Sehubungan itu bagi memastikan amanah ini berjaya dilaksanakan, guru mestilah tidak jemu membuat penambahbaikan diri dari semasa ke semasa supaya tidak ketinggalan.

“Ini termasuk mempertingkatkan penguasaan ilmu, memanfaatkan segala kemudahan pendidikan pada tahap optimum serta bertugas dengan penuh bertanggungjawab, dedikasi dan kecintaan.

“Dengan kualiti pengajaran memberangsangkan, guru pasti akan menikmati hasil membanggakan apabila melahirkan pelajar cemerlang yang bersedia menghadapi persaingan, bukan saja di dalam negara tetapi juga pada peringkat antarabangsa,” katanya.