Pages

Thursday, November 17, 2005

Guru asyik kira duit

Satu kenyataan yang keterlaluan telah dilafazkan oleh seorang pemanggil di TV1 pada 17 Nov 2005 dalam rancangan "Selamat Pagi Malaysia". Beliau mengatakan guru sekarang asyik mengira duit tidak seperti dahulu.

Bagi saya sumbangan guru dahulu ada nilainya. Sumbangan guru sekarang juga ada harganya. Adalah tidak adil membuat perbandingan guru dahulu dengan guru sekarang dengan menggunakan kayu sukatan dan alat penimbangan dahulu. Seperti mana kita juga tidak boleh membuat perbandingan pelajar dahulu dengan pelajar sekarang.

Sudah pasti keperluan guru dan pendidikan dahulu adalah menepati keperluan dan cabaran bangsa dan negara masa itu. Keperluan guru dan pendidikan masa kini juga harus menepati dengan keperluan masa kini dan menghadapi cabaran masa akan datang. Apa lagi jika kita ingin meletakkan pendidikan negara kita bertaraf dunia.

1 comment:

keyboard man said...

Keikhlasan guru dituntut
Oleh Khairina Yasin


KOMITMEN dan keikhlasan guru penting sepanjang melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik sekali gus memenuhi keperluan intelektual, rohani, fizikal serta emosional guru dalam agenda memartabatkan profesion keguruan negara.



Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Ismail Nihat, berkata sebagai pendidik profesional, tugas guru amat penting kerana mereka bukan saja bertanggungjawab melaksanakan dasar pendidikan negara dengan sempurna, malah juga membentuk generasi pelapis yang cemerlang.

Katanya, guru perlu bersedia menyahut cabaran masa kini demi mengangkat martabat profesion perguruan dan seterusnya, mengukuhkan sistem pendidikan negara.

Sambil menegaskan guru perlu memberi tumpuan penuh kepada proses pembelajaran dan pengajaran (P&P), beliau berkata, guru juga harus peka kepada perkembangan bidang ilmu serta kemahiran.

“Ada sesetengah guru bekerja keras, termasuk berusaha menghasilkan idea baru yang dapat membantu meningkatkan pencapaian pendidikan negara serta sanggup mengharungi kesulitan ketika menjalankan tugas di kawasan pedalaman,” katanya.

Menurut Ismail, memang tidak dinafikan dalam menuju hasrat kerajaan, guru terpaksa berdepan cabaran terhadap tugas dan tanggungjawab tersebut.

“Bukan saja guru yang seharusnya sedar pentingnya pendidikan kepada anak bangsa kita, tetapi semua pihak harus melihat bahawa tanggung jawab mendidik adalah tugas bersama.

“Namun, terlalu banyak campur tangan pihak luar dalam dunia pendidikan juga kadangkala mengganggu tugas guru di sekolah.

“Memang kita mengalu-alukan sokongan dan bantuan positif dari pihak lain, tetapi perkara yang merumitkan tugas guru harus dielakkan.

“Di sinilah perlunya kerjasama erat antara KPPK dan Kementerian Pelajaran bagi mengatasi segala kelemahan dan permasalahan yang timbul,” katanya.

Mengenai usaha melahirkan guru berkualiti, beliau berkata, KPPK menyambut baik usaha kerajaan menaik taraf maktab perguruan menjadi Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi melahirkan lebih ramai guru berijazah.

Katanya, usaha itu mampu meningkatkan kualiti bakal guru selain mempersiapkan mereka dengan segala kemahiran yang menepati keperluan di sekolah.

“Sebagai guru, mereka juga perlu bersedia untuk ditempatkan di mana saja sekolah khususnya di kawasan luar bandar apabila tamat kursus kelak.

“Walaupun terpaksa dihantar bertugas ke kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak, mereka perlu akur kerana ia adalah asas utama bagi seorang guru menghadapi cabaran,” katanya.

Namun, katanya, KPPK turut berharap agar sistem penempatan guru diperbaiki bagi mengurangkan kerenah permohonan pertukaran sekolah kalangan guru.

Ismail berkata, guru juga perlu bersedia menerima perubahan dalam menghadapi pelbagai perkembangan dalam era baru pendidikan yang tidak terkecuali daripada kesan ledakan teknologi maklumat yang pesat berkembang sekarang.

“Hala tuju sistem pendidikan kita seperti dijelaskan dalam Falsafah Pendidikan Negara hendaklah dijadikan garis panduan dalam menghadapi pelbagai perkembangan dan masalah yang timbul.

“Guru hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran penggunaan teknologi maklumat terkini sejajar dengan langkah kerajaan mempertingkatkan penggunaan teknologi moden di sekolah bagi memastikan P&P dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Sambil menegaskan KPPK akan terus menyokong usaha Kementerian Pelajaran bagi menjayakan misi pendidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9, beliau berkata, tumpuan pastinya diberi kepada usaha memperkasa sekolah kebangsaan.

Sumber: Berita harian